Ramadhan penuh dugaan..

Sunday, July 21, 2013

Pesan seorang sahabat:  "Kalau Allah tak sayang kita, Allah akan biar kita tanpa sebarang ujian atau dugaan sehingga kita leka.." Setiap ujian itu adalah sebenarnya tanda kasih sayang Allah untuk kita supaya kita sentiasa dengar merintih dan merayu padaNya. itu sebenar.

Bulan Ramadhan kali ini, banyak isu yang timbul. Ashraff Muslim kahwin lagi. Kisah Abby Abadi kahwin  lelaki muda. Kisah Mesir yang masih tak redha. dan terbaru kisah mengenai seorang ibu yang baru kematian anaknya 5 tahun. Saya sendiri ada kisah yg sedih dalam bulan Ramadhan kali ni.

Saya tanak membangkitkan mengenai mana-mana isu pun. Walaupun kisah sedih yang berlaku kepada saya sendiri. Apa jua tafsiran dan kesimpulan kita atas setiap kisah yang berlaku biarlah simpan dalam diri sahaja. Yang penting, anggaplah itu sebagai pengajaran. Memang ramai yang menjadi hakim dan panel juri ketika ini. Mengutarakan pendapat dan kesimpulan masing-masing. Hakikat sebenar hanya mereka yang terlibat sahaja yang tahu dan yang akan teruskan kehidupan mereka.

Mereka yang memberi komen, idea tambahan dan kesimpulan yang mungkin tidak berapa sesuai itu sekadar melihat perjalanan hidup mereka yang sengsara mahupun gembira itu dari jauh. Allah Maha Mengetahui. Tiada siapa dalam dunia ni mahukan yang buruk dalam kehidupan mereka. Takde isteri yang mahukan suaminya menikahi yang lain secara diam2 dan tanpa izin. Tiada siapa yang sangka jodoh kita dengan lelaki muda mahupun tua. Tiada siapa yang mahukan pergolakan dalam negara sehingga menjadikan ramai yang tidak bersalah mati terbunuh dan tiada ibu yang nak tengok anaknya terlukai layu dalam kereta hanya kerana kealpaan sendiri.

Berbalik kepada fitrah manusia yang sering lupa. Siapalah kita tanpa peringatan Allah. Apa yang kita perlu lakukan beristighfar dan kembali ke jalan yang benar. Allah menyayangi hambaNya yang taat dan hambaNya yang soleh. Itu yang sebenarnya. Allah rindu nak mendengar rintihan dan tangisan hambaNya dalam setiap doa. Itu hakikatnya. Jadikanlah peringatan ini yang sebenarnya bukan hanya utk mereka yang terlibat tetapi untuk seluruh manusia di dunia ini sebagai peringatan dari Allah.

Kepada mereka yang terlibat, tak kira apa jua kisah, semoga kalian lebih tabah dan lebih kuat mengharungi kehidupan akan datang. Yakin dengan kuasa Allah. Tiada yang lebih hebat dari kuasaNya. Yakin dengan takdir Allah. Segalanya berlaku atas perancangan Nya yang hebat. Wallahua'lam.

Salam 12 Ramadhan.

0 comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails